Wednesday, June 19, 2019

Terbuang Dari Hatimu



          Danial mencampakkan briefcasenya ke sofa. Cukup untuk mengejutkan Sofea yang sedang terlena akibat lama menantikan kepulangannya. Tali leher yang terasa merimaskan dilonggarkan. Dia seterusnya menghenyakkan punggungnya ke sofa sambil kedua-dua belah kakinya dilunjurkan ke meja.
          “Abang dah balik?” soal Sofeal yang masih lagi mamai. Matanya ditenyeh berkali-kali, wajah Danial yang kelihatan serius menambahkan getar didadanya. Jam di dinding ditoreh sekilas, jam menunjukkan sudah pukul 12 tengah malam. Lewat malam benar suaminya pulang ke rumah. Sofea terus mendapatkan Danial yang duduk di sofa, kedua-dua sarung kaki suaminya dibuka. Begitulah tugas rutinnya sejak 8 tahun yang lepas, menjadi surirumah dan menjalankan kewajipan sebagai seorang isteri kepada suami yang dicintainya dengan sepenuh hati.
          “Kenapa tak tidur dalam bilik?” soal Danial dengan nada yang kasar.
          “Pia tunggu abang balik tadi sampai tertidur pula.” dia tersengeh. “Abang sudah makan?” Danial cuma memandang isterinya tanpa sebarang reaksi. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini perasaan sayangnya terhadap Sofea kian luntur. Mungkinkah disebabkan sehingga kini, setelah 8 tahun melayari hidup berumahtangga mereka masih lagi belum dikurniakan zuriat. Ditambah pula dengan tekanan daripada ibunya yang mahukan cucu, apa yang paling merunsingkannya adalah permintaan Puan Zalina yang menginginkannya mengahwini Aisyah iaitu sepupunya.
          “Sampai bila Danial nak tunggu lagi ni? Sudah 8 tahun tapi seorang anak pun tak ada lagi. Ibu malu dengan saudara mara kita, orang sekarang bukannya bertanyakan pasal berapa banyak harta yang kita ada, tapi berapa ramai anak cucu yang kita ada. Senang-senang Danial kahwin jelah dengan Aisyah, anak Maksu tu. Lagipun dulukan Danial dengan Aisyah rapat masa zaman sekolah. Bini kau tu mandul tak boleh beranak, lebih baik kau ceraikan saja dia tu. Buat menanggung biawak hidup je.” masih terngiang-ngiang suara Puan Zalina di telefon siang tadi.
          “Abang dan makan? Kalau belum nanti Pia panaskan lauk-pauk.” sekali lagi Sofea bertanya apabila tidak mendapat respon dari suaminya. Bahu Danial dipicit perlahan, dia tahu suaminya pasti kepenatan. Namun tangan lembut yang memicit bahu tersebut ditepis kasar oleh Danial.
          “Jangan picit-picitlah. Rimas!” Danial bingkas bangun meninggalkan Sofea terkebil-kebil keseorangan. Sedikitpun dia tidak ada rasa dan kasih pada isterinya. Apa yang ada hanyalah perasaan benci dan marah kerana mendapat seorang isteri yang tidak mampu memberikan zuriat. Sofea hanya mampu melihat dengan hati yang pedih,bukan sekali dua dia diperlakukan sedemikan. Sudah banyak kali hatinya disakiti oleh suami tersayang, dia tahu semuanya berpunca daripada kesunyian hidup mereka. Sudah 8 tahun berkahwin tetapi masih gagal memiliki walau seorang pun cahaya mata. Dia tahu siapa yang bersalah, adakah dia, suaminya atau semuanya sudah ditentukan Yang Maha Esa.

                             *                                      *                                      *       

          “Sofea!! Pia!! Mana sarapan pagi ni? Aku dah nak pergi kerja dah ni. Kau tak masak ke pagi ni?” Danial bungkam sebaik membuka tudung saji di dapur. Tidak ada satu pun hidangan yang tersedia sebelum ini tidak begitu. Sofea tergesa-gesa menghampiri Danial di dapur. Sememangnya dia mahu memasak tetapi tiba-tiba sahaja dia sakit kepala namun setelah menelan beberapa biji panadol sakit itu beransur hilang. Tetapi pagi ini, walau sebanyak mana panadol dia yang ditelannya sakitnya semakin menjadi-jadi. Dia sendiri tidak tahu apa puncanya.
          “Maafkan Pia bang. Pia tak larat nak masak pagi ni.” luah Sofea meminta simpati kepalanya dipicit-picit dengan tangan kanannya.
          “Kenapa Sofea tak larat? Penat ke? Bukannya kau ada buat kerja pun. Sekadar buat kerja rumah tu banyak manalah penatnya. Ada banyak masa untuk berehat, kalau ada anak tu lainlah cerita, mestilah penat sebab menjaga anak kan? Ini anak pun tak ada.” Sofea cuma tunduk merenung lantai. Begitu sayu sekali hatinya mendengar kata-kata Danial. Tidakkah Danial merasa apa yang dia rasa? Dia juga turut rasa kesunyian, tambahan pula dia sentiasa kesorangan di rumah tanpa ditemani sesiapa. Hatinya sakit, jiwanya terhiris. Oleh kerana dia sedang bergelut kesakitan, Sofea tidak mampu hendak berdebat panjang. Dia cuma mendiamkan diri sahaja. Sakit kepala yang kuat itu, menyebabkan dia turut berasa loya seperti mahu muntah. Sofea cepat-cepat melarikan diri ke tandas. Danial yang dari tadi marah tadi turut berubah panik. Risau pula dia melihat keadaan Sofea, dia mengekori isterinya ke tandas. Belakang isterinya diusap beberapa kali, Sofea munta dengan banyaknya. Segala isi perut yang terisi habis dikeluarkan, Danial memandang dengan belas kasihan dalam hatinya meneka-neka dengan keadaan isterinya sedemikian rupa.
          “Kenapa muntah ni? Sayang mengandung kot?” ada riak gembira di wajahnya. Mungkinkah benar isterinya sedang hamil. Setahunya kalau sakit kepala dan muntah-muntah seperti ini adalah tanda seseorang tu mengandung.
          “Jom sayang abang bawa ke klinik.”
          “Tak perlulah bang. Sakit biasa je.”
          “Biasa apanya. Kalau dah sakit kepala dan muntah-muntah macam tu mesti sebab mengandung. Abang tahu mesti sayang mengandung ni.” Danial kelihatan teruja dan membayangkan dirinya akan bergelar ayah tidak lama lagi. Dipimpin perlahan isterinya ke sofa dan kemudian mengambil cuti kecemasan lalu membawa Sofea akan dibawa ke klinik.

*                                     *                                     *

          “Okey sudah sampai. Tunggu sekejap ye, nanti abang bukakan pintu.” Danial bergegas menunju ke tempat duduk di sebelah pemandu. Wajah Sofea yang kelihatan pucat dipandang sayu.
          “Teruk juga orang mengandung ni ye?” soalnya sambil memapah Sofea menuju ke Specialist Policlinic . Sofea hanya mampu tersenyum, dia sendiri tidak pasti adakah dirinya mengandung? Apa yang dia tahu sakit kepala yang dialaminya bukan hari ini terjadi tetapi sudah kerap kali berlaku. Cuma baru-baru ini dia merasa loya dan muntah dan mungkin dia mengandung kerana periodnya telah lewat hampir 2 minggu.
          “Okey sayang duduk dulu, biar abang pergi buat pendaftaran.” Sofea hanya mengangguk. Sesekali dia memejam mata, walaupun kepalanya yang berdenyut tadi semakin berkurangan sakitnya namun matanya kelihatan berpinar-pinar. Tulisan poster tentang penyakit kanser yang terdapat beberapa meter di hadapannya juga tidak dapat dibaca dengan jelas, tulisannya semakin lama semakin kabut dan berlapis-lapis.
          “Kenapa dengan aku ni? Aku dah nak buta ke? Tulisan sedekat ini pun aku tak nampak?” Sofea semakin gelisah.
          “Okey dah selesai. Sekejap lagi kita tunggu doktor. Sayang sakit lagi ke?” soal Danial yang telah selesai membuat pendaftaran. Dia melabuhkan punggung di sebelah Sofea, dahi isterinya dipicit perlahan.
          “Tak payahlah bang. Pia rasa dah okey sikit ni.”
          “Kalau macam tu baguslah. Lega sikit abang mendengarnya.” Danial tersenyum bahagia. Pintu bilik doktor dipandang, tidak sabar rasanya dia hendak membawa Sofea masuk kedalam dan seterusnya mendengarkan berita gembira tersebut dari doktor sendiri.
          “Sayang, abang dah ada nama untuk anak kita nanti. Kalau perempuan abang nak letak Nur Fatin Umairah, kalau lelaki pula Nur Iqbal Hakimi. Macam mana? Pia suka?” Danial berwajah ceria dan jari jemari Sofea diramas mesra. Sofea cuma tersenyum riang.
          “Cepat betul abang pilih nama. Macam sedia ada je.”
          “Memang pun. Nama-nama tu abang pilih sejak kita di awal perkahwinan lagi. Manalah tahu masa tu sayang bunting pelamin ke. Rupanya sekarang baru dapat merasa nak gunakan nama-nama tu.” Danial tersengih dan dia kelihatan cukup gembira sekali. Farah hanya memandang dengan senyuman hambar. Sebenarnya dia bimbang jika sebentar nanti jawapan yang diterimanya negatif. Sudah pasti reaksi Danial berbeza seperti sekarang namun dalam hatinya dia memanjatnya doa agar dirinya benar-benar hamil.
          “Puan Sofea.” kedengaran nama Sofea dipanggil. Danial bingkas memapah isterinya memasuki bilik doktor dan kelihatan seorang doktor muda tersenyum manis ke arah mereka.
          “Ye, kenapa?” soal Doktor Suraya kepada mereka berdua.
          “Saya syak isteri saya mengandung doktor. Tadi dia pening kepala dan muntah dengan teruk. Selalunya tanda begini untuk orang mengandungkan?” Danial pula menyoal Doktor Suraya. Sofea di sebelah dipandang dengan senyuman manis.
          “Ye, betul. Antara tanda-tanda orang mengandung adalah pening-pening, loya dan muntah-muntah. Kita panggil morning sickness. Sebelum itu saya mahu tanya Puan Sofea, bila kali terkahir puan datang bulan ye?” Doktor Suraya memandang Sofea.
          “Saya last period bulan lepas doktor. Tarikh tu tak berapa ingat tapi kalau diikutkan perkiraan saya bulan ini saya sudah lewat 2 minggu.”
          “Dah sahkan mesti isteri saya mengandung.” wajah Danial bercahaya. Tangan Sofea diramas mesra dan dia yakin Sofea sedang mengandungkan benihnya.
          “Macam inilah. Apa kata Puan Sofea pergi buat ujian urine dulu. Lepas tu kita akan sahkan sama ada mengandung atau tidak.” Farah hanya mengangguk. Dia kemudiannya bergerak menuju ketandas setelah diberikan bekas kecil. Setelah selesai semuanya dia menuju ke bilik doktor dan memberikan sample urine kepada doktor.
          “Okay tunggu sekejap ye.” Doktor Suraya menyerahkan botol tersebut kepada jururawat yang membantunya. Sofea dan Danial menanti dengan penuh debaran. Danial yang kelihatan begitu teruja kelihatan tidak sabat-sabar menanti jawapan dari Doktor Suraya. Setelah selesai menjalankan ujian, Doktor Suraya menyandar dan menarik nafas panjang.
          “Macam mana doktor? Isteri saya mengandungkan?” soal Danial tanpa sempat Doktor Suraya memberitahu perkara yang sebenarnya dan Sofea di sebelah pula kelihatan semakin gelisah. Doktor Suraya hanya mampu tersenyum, sekali lagi dia menarik nafas sedalamnya dan cuba memberitahu perkara yang sebenarnya.
          “Minta minta maaf encik, ujian yang kita jalankan tadi menunjukkan yang Puan Sofea tidak mengandung. mungkin ini simpton lain yang menyebabkan dia sakit kepala dan muntah-muntah.” serta merta wajah Danial dan Sofea berubah.
          “Betul ke ni doktor? Cuba periksa lagi, mustahil isteri saya tak mengandung. Tadi dia muntah teruk.” Danial seakan-akan tidak dapat menerima hakikat.
          “Betul encik. Ujian yang kami jalankan memang tepat. Puan Sofea tidak mengandung, ujian menunjukkan ia negatif.” Doktor Suraya cuba menyakinkan Danial.
          “Tipu. Ini semua tipu.” danial meraup mukanya dengan kedua-dua tapak tangan. Baru sahaja dia mahu gembira dengan berita yang telah lama ditunggunya namun hampa perasaan kecewa yang dirasai.
          “Abang, janganlah macam ni. Mungkin belum ada rezeki kita lagi. Sabarlah.” pujuk Sofea. Tangan Danial cuba digenggam namun Danial menepis kasar.
          “Sabar! Sabar! Sampai bila aku nak sabar hah? Dah 8 tahun aku tunggu tapi kau tak mengandung juga. Memang betullah ibu aku cakap yang kau ni mandul. Memang keturunan mandul agaknya.” Danial sudah tidak dapat membendung perasaan marahnya. Tanpa rasa malu dia menengking dan memaki hamun isterinya dihadapan Doktor Suraya. Doktor Suraya yang terkejut dengan tindakan Danial hanya mampu menenangkannya.
          “Sabar  encik. Bawa bertenang, masalah ini boleh dibawa berunding. Tak patut encik salahkan isteri encik. Kita sama-sama cari jalan penyelesaian.” pujuk Doktor Suraya. Kasihan melihatkan Sofea yang cuba menahan air mata dari keluar.
          “Nak bincang apa lagi doktor. Isteri saya ni memang mandul.”
          “Abang!!” jerit Sofea. Dia sudah tidak tahan dicaci sebegitu oleh suaminya. Dihadapan seorang doktor muda pula yang tiada kaitan dengannya. Tidakkah suaminya tidak tahu malu? Merendah dan memperlekehkan dirinya di hadapan orang lain. Hatinya semakin diruntun sayu, airmata yang ditahan sedari tadi semakin laju mengalir.
          “Sampai hati abang cakap Sofea macam tu.”
          “Kita cuba cari punca masalahnya dulu encik. Sebelum ini encik dan puan pernah tak buat ujian kesuburan?” soal Doktor Suraya. Dia cuba mencari punca dan jalan penyelesaian bagi masalah suami isteri dihadapannya.
          “Nak buat ujian apanya doktor? Setahu saya kalau tak boleh mengandung ni orang perempuan. Perempuan mandul. Mana ada lelaki mandul? Mengarutlah ujian-ujian tu semua. Memang nasib saya malang sebab dapat isteri yang mandul.” Danial bingkas bangun dan berlalu meninggalkan Sofea dan Doktor Suraya. doktor Suraya mendapatkan Sofea yang sedang menangis teresak-esak, tubuh kecil yang terhenjut-henjut itu dibawa ke dakapannya.
          “Sabar banyak-banyak puan. Saya doakan yang terbaik buat rumahtangga puan.” belakang Sofea ditepuk perlahan. Sofea pula sudah hilang rasa malu. Dia menangis semahunya dalam dakapan Doktor Suraya. Hatinya sayu dan sedih mengenangkan nasib dirinya. Hanya kerana tidak mempunyai zuriat Danial melayannya sedemikian. Padahal mereka berkahwin atas dasar suka sama suka dan saling menyintai.
          “Sampai hati abang buat Pia macam ni.Sampai hati abang.”

                             *                            *                            *

          “Mana abang pergi ni. Kenapa sampai sekarang abang masih belum balik lagi? Pia rindu sangat. Abang tak rindukan Pia ke?” Sofea termenung di ruang tamu menunggu kepulangan suaminya yang entah bila akan pulang. Sejak peristiwa dimalukan tempohari sudah hampir 2 minggu Danial menghilangkan diri. Tinggalkan Sofea seorang diri di rumah menantinya ibarat menunggu buah yang tidak gugur. Sakit peningnya pun dia sendiri yang menanggung, sejak akhir-akhir ini sakit kepalanya semakin menjadi-jadi. Hampir setiap pagi dia akan mengalami sakit kepala yang amat teruk, diiringi dengan muntah-muntah. Badannya cukup lemah dan tidak bermaya, tubuh yang dulunya berisi kini menjadi kurus dan mukanya yang dulu gebu telah berubah menjadi cengkung.
          “Assalamualaikum.” sapaan di muka pintu mengejutkan Sofea. Dia lantas menuju ke pintu untuk melihat tetamu yang hadir. Terkejut bukan kepalang apabila dia melihat gerangan tetamu yang tidak diundang itu.
          “Ibu.” Sofea menghulurkan tangan untu bersalam namun tidak disambut oleh Puan Zalina. Hanya jelingan tajam yang dihadiahkan kepada menantunya itu. Sofea berasa serba salah. Apakah tujuan kedatangan ibu mertuanya ke sini bersama-sama seorang gadis yang cukup dikenalinya Aisyah, sepupu Danial.
          “Duduklah dulu bu, nanti Pia buatkan air.” pelawa Sofea. Dalam hatinya penuh debaran dan tanda tanya. Dia dapat menangkap kedatangan ibu mertuanya bukanlah berniat baik. Sebelum ini tidak pernah Puan Zalina menjejakkan kaki ke rumah yang didiaminya dengan Danial. Dia tahu, dia bukanlah menantu pilihan keluarga Danial dan dia tahu dirinya amat dibenci oleh ibu mertuanya.
          Tak payah. Aku datang sini bukannya hendak duduk ataupun hendak minum air yang kau buat. Aku datang sini sebab nak beritahu kau satu perkara penting, kau tahu kemana Danial pergi?” Sofea hanya menggeleng.
          “Minta maaf bu, Pia tak tahu ke mana abang pergi. Dah puas Pia telefon dia tapi tiada jawapan pun. Pia call pejabat pun mereka cakap abang cuti. Pia bimbang kalau-kalau ada sesuatu yang buruk berlaku pada abang.” Aisyah tersenyum mengejek. Puan Zalina tersengih panjang.
          “Tak payahlah kau nak susah-susah risaukan dia. Untuk pengetahuan kau, suami kau dah selamat dinikahkan dengan Aisyah di Thailand. Kalau kau nak tahu ini madu kau. Tapi jangan bimbanglah, status kau sebagai madu akan berakhir tak lama lagi. Aku akan suruh Danial ceraikan kau. Tiada gunanya dia hidup bersama dengan kau. Tak mendatangkan hasil pun, buat menghabiskan duit gaji dia saja menyara kau. Dahlah mandul tak boleh beranak.” Kata-kata Puan Zalina cukup membuatkan Sofea terkejut besar. Umpama jatuh ditimpa tangga dirinya disaat ini. Dia terduduk di lantai, fikirannya kosong akalnya mati. Kepalanya berserabut dengan pelbagai masalah, airmata yang sentiasa menjadi peneman setianya laju saja mengalir . Seolah-olah sama menangisi nasib dirinya. Kelibat Puan Zalina dan Aisyah yang tersenyum mengejeknya tidak dihiraukan, pemergian mereka juga tidak disedarinya.
          “Abang, sampai hati abang buat Pia macam ni. Mana janji abang untuk sehidup semati dengan Pia? Kenapa abang biarkan Pia terkapai-kapai keseorangan sedangkan abang bahagia dengan orang lain. Sia-sia Pia  risaukan abang selama ini. Abang, baliklah bang. Pia rindukan abang. Rindu sangat-sangat.” Sofea menangis teresak-esak umpama anak kecil yang kematian ibunya. Menangisi nasib dirinya dan dia menangis sepuas-puasnya dan semahunya.
          “Pia..Pia..” kedengaran sayup-sayup suara memanggil namanya. Suara yang amat dikenainya. Suara milik insan yang terlalu dirinduinya. Sofea membuka mata perlahan-lahan, kelihatan matanya agak kabur pandangannya. Berkali-kali dia mengerdipkan matanya sehingga jelas gerangan insan yang berada di hadapannya.
          “Abang..” Sofea tidak mampu meneruskan kata-kata. Lelaki yang berada dihadapannya dipeluk sekuat hati. Rindu pada suaminya tidak dapat dibendung lagi, bertubi-tubi pipi Danial diciumnya. Dia terlalu merindui suaminya, pelukannya dikemaskan seolah-olah tidak mahu melepaskan Danial dan seboleh-bolehnya dia tidak mahu lelakiitu pergi meninggalkan lagi. Cukuplah sekali jangan berulang lagi Sofea tidak mampu menahan gelodak rindu yang kian membara.
          “Sayang rindukan abang, rindu sangat.” Danial cuma membiarkan dirinya diperlakukan sebegitu oleh Sofea. Dia tidak menolak namun dia juga tidak membalas setiap perilaku tersebut, tubuhnya keras umpama kayu langsung tidak mempunyai reaksi.
          “Abang..” Sofea menatap wajah Danial. Tidakkah suaminya ini merindui dirinya, perlahan-lahan Sofea melepaskan pelukannya yang kemas tadi. Perasaan malu mula terbit dalam diri apabila Sofea tidak memberikan sebarang tindak balas, wajah Danial dipandang sayu.
          “Kenapa tidur dekat sini?” soal Danial. Wajah Sofea yang murung dipandang sepi. Sofea hanya diam. Baru dia sedar sepanjang malam dia tertidur di tepi lantai sofa rupanya. Semalaman dia menangis mendengar khabar buruk yang disampaikan oleh ibu mertuanya. Tangisan yang panjang sehingga akhirnya dia tertidur di situ.
          “Pia menanggis ke?” Danial menyoal apabila melihat sepasang mata isterinya yang sembab. Dia tahu Sofea menanggis selepas mendengar cerita perkahwinannya kali kedua tanpa izinnya. Namun apakan daya, dia berada didalam keterpaksaan. Dia sayangkan Sofea tetapi perasaannya sukar hendak diduga. Danial dapat merasakan yang dirinya sudah tidak seperti dahulu. Seolah-olah apa yang sedang berlaku sekarang sudah terang-terangan dirancang. Sofea cuma diam membisu tanpa sebarang jawapan.
          “Abang nak makan? Pia boleh masakkan.” Sofea sudah mahu bangun. Hari sudah menginyak ke tengah hari menyebabkan dia tersedar yang dia belum menjamah apa-apa lagi. Perutnya terasa pedih.
          “Tak apalah. Abang sudah kenyang. Abang datang ni pun untuk ambil barang-barang abang saja.”
          “Ambil barang-barang abang? Apa maksud abang?” laju farah menyoalnya. Dadanya yang sesak menjadi berdebar-debar. Adakah Danial akan menceraikannya. Maklumlah Danial sudah berkahwin lain. Debaran didadanya semakin memuncak. Perasaan bimbang dan risau semakin mencengkam dikalbu.
          “Abang rasa Pia sudah tahu keadaan kita sekarangkan? Mulai hari ini abang akan tinggal bersama-sama dengan Aisyah. Tapi Pia jangan risau, Pia boleh tinggal di rumah ini. Abang hadiahkan rumah ini untuk Pia, tiap-tiap bulan abang akan beri nafkah. Abang takkan ceraikan Pia walaupun itu kehendak ibu.” Danial terus bergegas menuju ke bilik. Danial dengan pantas memasukkan kesemua pakaiannya ke dalam bagasi. Sofea yang sudahpun berada di birai katil tidak diendahkan.
          “Abang..jawablah bang. Kenapa buat Pia macam ni? Apa makna semua ini bang,” semakin kuat Sofea mengongoi semakin laju pula Danial mengemaskan barang-barangnya. Dia tidak sanggup melihat tangisan sayu isterinya.
          “Maafkan abang Pia.” Hanya itu yang termampu diucapkan oleh Danial.
          “Abang…sampai hati abang. Sanggup abang biarkan Pia keseorangan? Pia tiada siapa-siapa lagi didunia ni melainkan abang. Tolonglah abang jangan buang Sofea dari hidup abang. Tolonglah..” Sofea memeluk kemas betis Danial. Tangisannya semakin berlagu, semakin rancak. Dia tidak mahu ditinggalkan untuk kali kedua.
          “Abang terpaksa pergi dulu Pia. Jaga diri baik-baik.” Danial sedaya upaya cuba memboloskan diri dari pelukan Sofea. Dia keluar dengan pantas sambil membawa bagasi. Panggilan dari tangisan Sofea hanya dibiarkan sepi.
          “Abang…abang..baliklah bang. Jangan buat pia macam ni. Abang…sampai hati abang.” Sofea menangis kuat di muka pintu bilik. Pemergian Danial hanya dipandang kosong. Dia sebak. Malam-malam sepinya dilalui sendirian. Lama Sofea menanggis, lama dia termenung. Sofea menyeka airmatanya, ia sudah lama kering. Dia sedar Danial sudah tidak menyayanginya lagi. Hanya dirinya sahaja merasakan sayang dan kasih yang mendalam. Dia perlu kuatkan semangat, sudah tiada gunanya dia terus merayu pada lelaki yang sudah tidak menginginkan dirinya. Cukuplah, sudah cukup apa yang di tanggung olehnya selama ini. Segala caci maki dan penghinaan daripada insan yang terlalu disayanginya. Mungkin jodohnya hanya setakat ini sahaja, andai itu benar dia redha dalam pasrah.
          “Terima kasih abang… terima kasih atas segalanya. Terima aksih atas setiap kasih sayang yang pernah abang curahkan. Terima kasih juga pada setiap penghinaan yang abang berikan pada Pia. Dan… selamat pengantin baru suamiku…”

                             *                            *                            *

          “Macam mana? Positif ke?” Puan Zalina menyoal menantunya dengan penuh debaran. Namun melihatkan wajah Aisyah yang murung dia telah menduga jawapannya. Aisyah hanya menggelengkan kepala. Alat pengguji kehamilan di tangan dipandang sepi. Sudah berkali-kali dia membuat ujian kehamilan namun setiap kali itulah juga jawapannya masih negative. Perkara ini menjadi tanda tanya padanya. Siapa yang mandul sebenarnya? Kalau hendak dikatakan dia mandul ia mustahil kerana dia pernah membuat ujian kesuburan dan jawapannya positif. Dan dia juga menduga punca ini datangnya dari Danial, sementelah Danial tidak pernah mahu menjalankan ujian tersebut.
          “Tak mengapalah. Nanti boleh cuba lagi.” Puan Zalina cuba memujuk hati Aisyah dan juga dirinya. Perasaan kecewa memang amat jelas dirasai. Sudah hamper 2 tahun usia perkahwinannya namun mereka masih belum dikurniakan cahaya mata. Aisya termenung panjang. Wajah Puan Zalina dipandang, sekarang dia dapat merasakan apa yang dirasai oleh Sofea selama ini. Sedangkan Sofea mampu bertahan selama 8 tahun usia perkahwinan dan dia baru 2 tahun sudah berasa kesunyian yang teramat sangat. Kehadiran cahaya mata terlalu diharapkan, naluri keibuannya pula semakin menebal didalam diri. Tambahan pula abang dan kakaknya yang baru berkahwin 1 tahun sudah menimang cahaya mata.
          “Entah-entah abang yang mandul?” terluah juga akhirnya apa yang terbuku dihati Aisyah selama ini. Puan Zalina terkejut mendengarnya. Wajah menantu kesayangannya direnung tajam. Sakit hatinya mendengar ulas bicara yang lahir di mulut Aisyah.
          “Jangan nak memandai pula Esya. Kamu tu cakap biar berlapis sikit. Keturunan ibu tiada yang mandul tahu tak? Keturunan ibu semuanya baik-baik belaka.”
          “Habis tu keturuna Esya yang mandul? Keturunan Esya lah yang tak elok? Ibu tahu tak Esya sudah buat ujian kesuburan dan jawapannya positif. Tapi abang… Bila Esya ajak dia buat ujian dia tak mahu. Katanya dia sihat, tiada apa-apa masalah. Kalau tiada apa-apa masalah kenapa sampai sekarang Esya tak mengandung lagi? Lagipun perkahwinan abang dengan Sofea dulu pun bukannya singkat, 8 tahun… tapi masih tiada cahaya mata.”
          “Baiklah kalau itu yang Esya mahukan. Nanti ibu suruh Danial buat ujian tu. Dan ibu yakin jawapannya tidak menghampakan ibu. Lagipun Danial tu memang sihat, tak pernah ada sakit apa-apa pun. Percayalah cakap ibu.” Puan Zalina bangun meninggalkan menantunya. Tak kuasa dia bertekak lama-lama disitu.
          “Okey… kita tengok nanti.”

                             *                            *                            *

Danial terduduk di kerusi seakan tidak percaya dengan keputusan ujian yang diperolehinya. Dia mengalami masalah ketidaksuburan. Spermanya didapati tidak normal dan sperma yang bnormal biasanya memiliki bentuk yang lengkap seperti kepala, badan tengah dan ekor. Tetapi miliknya datang dalam pelbagai bentuk seperti kepala besar, kepala kecil, ekor bercabang pendek dan macam-macam bentuk lagi. Sperma begini akan sukar untuk sampai ke telur bagi proses persenyawaan. Bilangan spermanya juga rendah iaitu kurang daripada 20 juta ekor. Danial meraup kepalanya yang tiba-tiba sahaja rasa pening. Mustahil dia mengalami masalah ketidaksuburan sedangkan dia sihat tubuh badan. Wajah Doktor Arif di hadapan dipandang dalam-dalam.
          “Doktor betul ke sperma saya tidak normal? Sedangkan selama hari ini saya sihat. Tak pernah mengalami masalah kesihatan yang serius. Mustahil saya tidak subur.” Keluh Danial. Hakikat tentang ketidaksuburannya sukar untuk diterima.
          “Begini Encik Danial, walaupun kita sihat dari segi fizikal tak bermakna dalaman kita pun sihat. Lagipun banyak faktor penyebab morfologi sperma tidak normal seperti  jangkitan, terdedah kepada toksin, radiasi, merokok, urat darah varicocele dalam skrotum, demam dan panas melampau, gaya hidup, dadah dan alcohol, obesity dan testis yang tidak normal.”
          “Kalau begitu memang betullah saya ni mandul?”
          “Encik Danial mengalami masalah sperma yang tidak normal. Dan masalah ini boleh dirawat. Masalah ketidaksuburan ini bukannya melibatkan orang perempuan sahaja. Orang lelaki pun ada mengalami masalah ketidaksuburan juga. Tapi itulah, di Malaysia lebih ramai orang perempuan yang membuat ujian berbanding orang lelaki. Yalah tak semestinya kalau isteri kita tidak boleh mengandung dia yang menjadi punca masalah kan?” Danial hanya tersenyum hambar, sekilas ingatannya teringat pada Sofea. Selama ini dia menyalahkan isterinya kerana menjadi punca mereka masih lagi belum dikurniakan zuriat. Kerapkali dia mengherdik Sofea, memaki hamunya dan mengeluarkan kata-kata kesat pada isterinya. Tetapi hakikiatnya dialah punca penyebabnya.

                             *                            *                            *

Sebaik sahaja dia beredar dari klinik, Danial menuju ke rumah yang pernah didiaminya dahulu. Rumah miliknya dan Sofea, sejak dia meninggalkan isterinya pada hari itu dia langsung tidak menjenguk Sofea. Hampir 2 tahun, hanya nafkah zhir sahaja yang diberikan. Setiap bulan dia akan memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun Sofea, namun tidak terdetik di hatinya untuk bertanyakan khabar Sofea. Danial berasa sangat menyesal dengan segala tindakannya selama ini, begitu tegar dia memperlakukan Sofea sedemikian.
          “Maafkan abang..Pia, maafkan abang.” hanya permohonan maaf sahaja yang mampu diucapkan. Sebaik sahaja dia sampai di luar rumahnya, Danial mendapati pintu pagar tertutup rapat dan berkunci. Danial pantas mengeluarkan set kunci rumah miliknya yang sememangnya diletakkan didalam kereta. Setelah memakirkan kereta dia terus menuju ke pintu dan membukanya. Keadaan di dalam rumah masih sama seperti sewaktu ditinggalkannya dahulu.
          “Sofea!! Pia!!” jerit Dnial mecari kelibat isterinya. Namun panggilannya tidak berbalas.
          “Ke mana pula perginya Pia ni?” Danial menjadi gelisah. Rumahnya sunyi sepi seperti tidak berpenghuni. Dia ke dapur mencari kelibat Sofea, namun tidak ada.
          “Pia ada di bilik kot?” Danial lantas memanjat anak tangga menuju ke bilik ditingkat atas. Namun hampa, di bilik tidur juga tiada. Apa yang terlintas difikirannya Sofea sudah meninggalkan rumah, lantas dia membuka almari pakaian. Pakaian Sofea masih ada di dalam almari tersebut. Ini menimbulkan kehairanan pada Danial. Telefon bimbit yang tersimpat di poket seluar dikeluarkan lantas mendail nombor telefon bimbit Sofea. Sekali lagi hampa, talian tersebut sudah lama ditamatkan perkhidmatan.
          “Sofea..Pia dekat mana sayang? Abang rindu pada Pia. Pia ke mana?” keluh Danial. Fikirannya buntu. Dia tidak tahu ke mana perginya Sofea. Punggungnya dilabuhkan ke birai katil. Matanya tertancap pada sebuah diari yang terletak di atas bantal miliknya. Dengan pantas tanganya mencapai diari yang berwarna ungu lembut itu. Danial tahu itu diari milik Sofea. Setahunya Sofea tidak gemar menulis diari, mungkin isterinya hanya menyematkan perkara yang pentingt-penting sahaja didalamnya. Dia berkira-kira untuk membacanya. Helaian pertama dibuka kosong, tiada sebarang tulisan yang dicoretkan. Helaian seterusnya diselak. Terlekat kemas sekeping gambar perkahwinannya dengan Sofea, sepasang pengantin yang sama cantik dan sama padan bagaikan pinag dibelah dua. Tulisan yang tertera di situ dibaca dengan penuh teruja.

11 Februari 2011
Ahkirnya aku telah sah menjadi isteri abang. Seorang lelaki yang teramat aku cintai dan sayangi dengan sepenuh hati. Pia berjanji akan menjadi isteri abang dengan sebaiknya. Pia akan turut setiap kata-kata abang. Pia akan letakkan abang di tempat yang tertinggi sebagai seorang suami. Sesungguhnya Pia terlalu menyayangi abang. I love you so much abang. Semoga hubungan yang terjalin ini terus berkekalan sehingga ke akhir hayat.

          “Abang pun sayangkan Pia.” Ucap Danial. Danial menyelak lagi halaman seterusnya. Perasaan ingin tahu tentang isterinya begitu dalam. Dia ingin tahu apa yang diabdikan oleh Sofea di dalam diari tersebut. Melihatkan pada tarikh yang tertera di halaman seterusnya tekaan Danial Dnial memang tepat, Sofea jarang menulis diari. Beza pada tarikh catatatn pertama dan kedua jauh berbeza.

03 November 2011
Aku gembira sangat hari ini. Hari ini hari jadi aku. Abang memberikan aku sebentuk cincin bertatahkan berlian. Sangat cantik sekali. Mesti mahalkan bang. Pia terima dengan seikhlas hati. Tapi bang, Pia bukanlah seorang perempuan yang materialistik. Pia sedar siapa diri ini, Pia hanya seorang anak yatim piatu yang abang kutip di Rumah Seri Bahagia. Bukannya harta kekayaan abang yang Pia inginkan. Cukuplah segala kasih sayang dan perhatian yang abang berikan pada Pia selama ini. Semoga abang sentiasa menyayangi Pia selama-lamanya.

Danial terasa sebak di hati. Teringat pada awal perkenalannya dengan Sofea semasa di Rumah Seri Bahagia dahulu. Ketika itu dia melawat ke rumah anak yatim tersebut dan memberikan sumbangan dan dari situlah pertama kali dia bersua muka dengan Sofea. Dengan pandangan yang pertama membuatkan dia jatuh hati pada Sofea.

22 September 2014
Hari ini sekali lagi aku sakit kepala. Berdenyut-denyut terasa pening semacam. Sakit kepala yang sering terjadi di awal pagi. Kenapa aku sering sakit kepala? Adakah aku menghidap sakit kronik? Ah… mungkin itu tanda awal aku nak datang bulan agaknya. Tak payah beritahu abanglah. Lagipun abang sibuk dengan kerjanya. Takkan perkara kecil macam ni pun nak beritahu dia. Makan panadol nanti baiklah tu.

Helaian setiap helaian dibuka. Begitu khusyuk dan tekun sekali Danial membaca diari milik isterinya. Setiap patah perkataan yang tertulis dibacanya.

11 Mac 2017
Kenapa sejak akhir-akhir ini perangai abang seakan-akan sudah berubah. Selalu sangat nak marah-marah. Pantang salah sikit mesti naik angina. Dah tu selalu sangat pulang lewat. Boleh dikatakan hari-hari abang balik lambat. Abang tak tahu ke Pia rindukan abang. Rindu sangat-sangat bang. Nama saja duduk serumah tapi susah betul nak bermanja dengan abang. Hari-hari Pia kesunyian. Mungkin abang marah sebab sampai sekarang Pia masih belum mengandung lagi. Nak buat macam mana bang, masih belum ada rezeki kita lagi. Sabar ye bang. Insya Allah, tidak lama lagi mungkin kita akan dikurniakan cahaya mata. Aamiin.

Danial terkedu dengan rasa bersalah menyelubungi dirinya. Betapa selama ini dia sering menyalahkan isterinya. Dia bersalah sangat pada Sofea.
          “Maafkan abang…maafkan abang.” Rasa sebak didadanya semakin menebal. Helaian diari tersebut diselak lagi.

11 Oktober 2017
Kenapa bang? Kenapa macam ini jadinya. Sampai hati abang malukan Pia di klinik tadi? Dah tu abang tinggalkan Pia di klinik macam tu je. Abang kata Pia mandul. Ya Allah, sampainya hati abang. Sakitnya hati Pia hanya tuhan saja yang tahu, tak boleh ke bawa berbincang bang? Kenapa abang buat Pia macam ni. Mana janji abang untuk menjaga Pia selama ini? Nak sehidup semati dengan Pia. Abang tinggalkan Pia keseorangan. Sampainya hati abang.

Airmatanya sudah mula bergenang di tubir mata Danial. Hatinya cukup sebak, perasaan menyesal dan bersalah yang bersarang di dada semakin menjadi-jadi. Andainya dapat diputar kembali, sudah pasti dia tidak akan melakukan perkara sedemikian pada Sofea.



26 Oktober 2017
Sudah hamper 2 minggu abang tidak balik kerumah. Abang pergi mana? Pia rindukan abang sangat-sangat. Pia rindukan belaian abang. Pia rindukan ciuman manja abang. Pia rindukan pelukan mesra abang. Hari-hari Pia merindui abang, abang tak kesiankan Pia ke? Kenapa abang tak balik-balik lagi? Baliklah bang, isterimu ini terlalu merinduimu. Sekarang ni Pia selalu sangat pening-pening dan muntah-muntah. Kalau abang ada mesti abang akan jaga Pia kan. Abangkan sayang Pia…Betul kan bang? Betul kan? Baliklah abang. Rindu sangat-sangat.

Setitis demi setitis airmata Danial mula jatuh dan mengenai diari milik Sofea. Tiada kata-kata yang mampu menggambarkan perasaannya saat ini.

28 Oktober 2017
Pia gembira sangat sebab setelah sekian lama menanti akhirnya abang pulang juga. Betapa rindunya Pia pada abang, hanya tuhan saja yang tahu. Pia cium pipi abang sepuasnya, Pia peluk abang sekuatnya. Pia tak mahu abang pergi lagi. Biarlah apa yang abang pernah buat pada Pia dulu, Pia t ak kisah. Pia maafkan abang, Pia takkan ambil hati. Asalkan abang tidak tinggalkan Pia lagi..
Tapi kenapa abang?
Pertemuan pertama selepas 2 minggu itu merupakan pertemuan yang terakhir antara kita. Abang tinggalkan Pia lagi. Untuk kali kedua, dan Pia yakin pemergian abang kali ini adalah untuk selama-lamanya. Yelah, abang sudah berkahwin lain. Aisyah cantik. Mesti dia dapat membahagiakan abang. Sekaligus memberikan cahaya mata yang amat diidam-idamkan. Siapalah Pia pada abangkan. Pia menangis lagi bang. Hari-hari Pia menangis apabila mengenangkan nasib diri Pia. Sudahlah sebatang kara,selepas itu ditinggalkan suami pula. Ya Allah, kau berikanlah semangat pada hambamu ini. Agar aku mampu menempuh segala ujian yang KAU berikan. Keluar saja abang dari rumah ini, Pia bernekas untuk cuba melupakan abang. Pia takkan cari abang lagi. Pia tidak mahu menganggu hidup baru abang lagi. Pia tahu abang sudah tidak lagi sayangkan Pia. Biarlah Pia hidup seorang diri. Dulu pun Pia sebatang kara juga. Pergilah bang…pergilah dengan isteri baru mu itu. Airmata… cukuplah kau mengalir. Jangan kau mengalir lagi.

          “Ya Allah…berdosanya aku pada isteriku. Apa yang abang dah lakukan pada kau Pia. Sesungguhnya abang sangat menyesal. Maafkan abang sayang.” Kedua-dua mata Danial sudah merah. Airmatanya yang tidak pernah mengalir akhirnya gugur juga.

27 Oktober 2018
Hampir setahun pemergian abang. Dalam tempoh itu hari-hari Pia rindukan abang. Walaupun Pia nekad untuk melupakan abang tapi…hakikatnya tidak dapat diubah. Mana mungkin Pia mudah melupakan abang. Insa pertama yang telah mencuri hati Pia. Insa pertama yang mengajar Pia tentang cinta, rindu dan kasih. Betapa Pia terlalu merinduimu. Andai masih ada lagi rasa di hatimu…pulanglah. Diri ini setiap saat menunggu kepulanganmu. Setiap saat merindui kehadiranmu. Pulanglah sayang…pulanglah suamiku.

          “Abang sudah pulang sayang. Abang datang ni. Tapi Pia di mana?”

19 November 2018
Ya Allah, YANG MAHA AGUNG. Hanya Engkau yang mengetahui apa yang terbaik untuk hambaMU. DugaanMU terlalu besar untukku. Tetapi aku redha Ya Allah. KANSER OTAK. Rupanya selama ini aku menghidap kanser otak. Itulah yang diberitahu oleh doktor tadi. Patutlah aku selalu muntah-muntah dan sakit kepala dan mungkin hidupku tidak panjang. Penyakit kanser ni sudah di tahap kritikal. Maklumlah sudah bertahun aku mengalami simptonnya tapi…tidak pernah langsung buat pemeriksaan. Kalau tidak mungkin masih ada harapan untukku. Biarlah, aku redha untuk apa aku  terus hidup lagi? Biarkan aku mati saja.

Danial terkejut, isterinya menghidap kanser otak. Selama ini isterinya seorang diri menanggung kesakitan sendirian. Tetapi dia … sedikit pun tidak mengendahkan Sofea.
          “Abang berdosa sayang… abang berdosa pada Pia.”



11 April 2019
Aku merasakan seperti sudah sampai masanya aku pergi jauh dari duniaMu ini Ya Allah. Aku sudah tidak tahan sangat menanggung sakitnya. Terlampau sakit Ya Allah, sebolehnya aku ingin pergi ke pangkuan suamiku…tapi apakan daya. Sampai sekarang dia langsung tidak menjenguk aku. Abang…abang sudah lupakan Pia langsung ke bang? Adakah Pia sudah tidak terpahat di hati abang? Pia nak pergi jauh ni bang. Pulanglah abang. Datanglah jenguk Pia ni, agar Pia boleh pergi dengan tenang, dengan aman. Pulanglah bang, walaupun sekejap agar hilang rasa rindu yang ditanggung ini bang ini bang. Pulanglah.

Catatan terakhir dari Sofea. Danial sudah tidak dapat menahan rasa. Airmatanya mengalir deras, dia terlalu sedih membaca luahan rasa Sofea sepanjang ketiadaannya disisi Sofea. Selama ini dia berlaku kejam terhadap insan yang menyayanginya. Danial bergegeas menuruni anak tangga. Diari milik isterinya turut dibawa bersama. Dia seakan-akan tahu ke mana perginya Sofea membawa diri.

                             *                            *                            *

Danial telah sampai ke Rumah Seri Bahagia. Dia terus menuju ke teratak Puan Rohani yang merupakan pengasas Rumah Seri Bahagia. Kelihatan ramai penghuni yang berkurumun di perkarangan teratak tersebut. Semuanya berwajah sungul dan sedih sekali. Dari luar kedengaran bacaan yassin dibacakan, Danial berdebar-debar. Jantungnya bergerak cukup pantas. Sebaik sahaja kaki melangkah ke dalam, semua mata tertumpu ke arahnya. Danial terkejut dia bagaikan hendak pitam.
          “Sofea…” Airmatanya mengalir sekali lagi. Dia berjalan laju mendapatkan Sofea yang sedang berbaring. Beberapa orang penghuni mengelilingi Sofea sambil membacakan Yassin. Sofea kelihatan sudah nazak, tubuhnya kurus kering mukanya cengkung dan kelihatan cukup tidak bermaya.
          “Abang datang ni sayang.”Danial pantas menghampiri Sofea. Dia duduk bersila bersebelahan Sofea. Tubuh yang tidak bermaya itu dipangkunya, mata Sofea yang sedari tadi terpejam seakan-akan bergerak.
          “Sofea… buka mata sayang. Tengok siapa yang datang ni. Ini abang sayang. Pia nak jumpa abangkan? Pia rindu abang kan?” pipi cengkung Sofea dibelai dengan tangan sasanya. Dahi Sofea dikucup berkali-kali. Seseklai airmatanya menitis mengena di pipi Sofea. Sofea mengagahkan diri untuk membuka mata, wajah insan yang dirindui itu benar-benar sudah berada dihadapannya. Sofea cuba tersenyum dan tangannya cuba diangkat namun dia tidak berdaya. Dengan pantas Danial memegang tangan Sofea, tangan yang kurus itu diciumnya berkali-kali.
          “Maafkan abang sayang…maafkan abang. Betapa selama ini abang telah mengabaikan Pia. Banyaknya dosa abang pada Pia.” Danial menangis lagi. Sedih hatinya melihat keadaan Sofea. Sofea menggelengkan kepala, segala dosa suaminya sudah dimaafkan. Sedikit pun dia tidak menyimpan dendam terhadap insan yang terlalu disayanginya. Kedengaran tangisan penghuni menjadikan suasana bertambah pilu. Peristiwa yang berlaku di depan mata mereka benar-benar meruntum jiwa. Danial mendekatkan telinganya di mulut Sofea apabila merasakan seperti Sofea ingin berkata sesuatu. Begitu sukar untuk menutur kata.
          “Aa..bang. Maafkan..Pia. Halal…kan…ma…kan minum Pia.” Danial mengangguk berkali-kali. Dia tidak mampu berkata-kata saat ini. Hatinya dipagut sedih dan pilu.
          “Pe…luk…Pia…bang…” Dania menurut. Tubuh Sofea yang kurus kering itu dipeluk kemas. Lama. Sehinggalah dia merasakan tubuh itu tidak bernyawa lagi.
          “Sofea..Sofea..” panggil Danial. Namun tubuh kaku itu tidak bergerak. Kaku, keras dan sejuk. Sofea telah pergi menhadap PenciptaNYA. Pergi menghadap Yang Maha ESA didalam dakapan insan tersayang. Akhirnya tercapai juga hajatnya yang satu itu.
          “Sofea!!!”jerit Danial sekuat hati. Tangisannya semakin kuat. Tangisnya tidak berlagu, akhirnya Sofea pergi jua.
          “Bangun Pia…jangan tinggalkan abang. Jangan tinggalkan abang sayang.Bangun…” Danial tidak dapat menerima hakikat Sofea pergi meninggalkannya. Pergi meninggalkannya untuk selama-lamanya. Menanggis airmata darah sekalipun Sofea tidak akan kembali lagi. Danial menyesal, namun apakan daya semua sudah tertulis. Itulah suratan takdir untuknya.

Hidup tidak selalunya indah.

         

No comments:

Post a Comment